Utama NASIONAL JENAYAH / MAHKAMAH Rompakan di Lukut seperti aksi dalam filem

[Video] Rompakan di Lukut seperti aksi dalam filem

PORT DICKSON: Seperti dalam filem.

Itu aksi kes rompakan barangan kemas oleh sekumpulan perompak sebelum kenderaan dinaiki mereka terbabas dan kemudian terbalik ketika dikejar mangsa. Namun semua suspek berjaya melarikan diri dengan kenderaan lain milik rakan mereka.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Lukut, dekat sini, kira-kira jam 10.15 pagi tadi, suspek melarikan tiga beg berisi barang kemas, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa berusia 50 tahun yang juga pemilik kedai emas di bandar Port Dickson, menaiki kereta Toyota Camry mendakwa, semasa berhenti di stesen minyak Shell menghala Lukut, dia diserang sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang dan menaiki dua kenderaan.

“Suspek dikatakan menghalang kereta mangsa dari arah hadapan dan belakang selepas pemilik kedai emas itu memberhentikan kenderaan di pam minyak. Selepas melarikan diri semua barangan itu, mereka terus memecut, tetapi mangsa mengejar dengan kenderaannya.

“Mangsa dapat menghimpit salah sebuah kereta hingga menyebabkan kenderaan suspek hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di bahu jalan. Mangsa kemudian berpatah balik, namun suspek berjaya melarikan diri dengan sebuah lagi kenderaan,” katanya hari ini.

Katanya, mangsa cedera ringan di tangan akibat terkena parang ketika kejadian dan polis percaya suspek dalam kenderaan terbabit juga mengalami kecederaan.

“Polis memeriksa kenderaan suspek, Honda CRV hitam yang terbalik di hadapan deretan kedai tepi jalan Lukut dan menjumpai dua beg berisi barang kemas yang dilarikan. Pemeriksaan lanjut menemui dua bilah parang dan satu ‘walkie talkie'” ujarnya.

Beliau berkata, semakan ke atas Honda CRV digunakan suspek mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang dalam kejadian samun pada 25 November 2021 di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan polis meminta orang awam atau saksi yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.


BACA juga:
Exit mobile version