Peniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di sini bertindak mengemas dan menyimpan barangan jualan mereka seawal 2 petang tadi, susulan bimbang dengan paras air Sungai Golok yang melimpah dan diramal meningkat secara mendadak.
Tinjauan Bernama petang tadi mendapati kawasan itu lengang dengan banyak premis telah ditutup.
Peniaga selipar dan anak patung, Nurul Atikah Adli, 21, berkata dia telah menyimpan barangan jualan di tempat tinggi bagi mengelak dibasahi air sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan.
“Sebelum ini, saya akan membuka kedai seawal 10 pagi hingga 7 malam namun limpahan air dari Sungai Golok menyebabkan saya terpaksa menutup premis lebih awal, bimbang barangan jualan terjejas.
VIDEO berkaitan:
“Dalam kejadian banjir pada November lepas, saya tidak menyangka paras air di sini mencecah sehingga ke paras pinggang menyebabkan saya menanggung kerugian besar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Melayu Rantau Panjang, Ramli Abdullah berkata kebanyakan peniaga menutup premis sebagai langkah bersiap sedia menghadapi banjir.
Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras Sungai Golok telah melebihi paras bahaya iaitu 10.15 meter daripada paras normal lima meter setakat 7.30 malam ini.