Seorang anggota polis wanita berusia 26 tahun ditahan dalam Ops Hiburan yang dijalankan di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak di sini awal pagi Rabu kerana didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata dalam operasi yang dijalankan pukul 2 pagi itu, wanita berkenaan didapati positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, Ketamin dan Benzo selepas menjalani ujian saringan air kencing.
“Wanita tersebut, yang merupakan pegawai rendah polis sedang bercuti sebelum melaporkan diri di Kontinjen Johor dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata anggota polis itu direman selama dua hari sehingga hari ini dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Selain anggota polis wanita tersebut, Mohamad Lazim berkata seramai 66 individu lain diperiksa dan 11 warga asing ditahan atas kesalahan salah guna pas lawatan dan diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut.