Seperti selebriti Malaysia yang lain, Datuk Aznil Hj Nawawi yang mesra dikenali sebagai Pak Nil juga aktif membantu mangsa yang terjejas banjir.
Terkini, Pak Nil turun padang melawat dan memberikan bantuan serta sumbangan kepada mangsa banjir di Bukit Changgang, Banting, Selangor.
Pak Nil bersama-sama dengan sukarelawan yang dikumpulkan melalui sosial medianya melawat ke kawasan sekitar Bukit Changgang dan sekolah agama berhampiran.
Menerusi siaran langsung di akaun TikTok miliknya, Pak Nil menunjukkan situasi terkini banjir di kawasan itu dan meluahkan rasa sedih apabila melihat mangsa banjir yang kekal positif.
Dia juga sempat berkongsi pengalaman ketika berjumpa dengan seorang mangsa banjir yang membuai anaknya tidur dibawah pokok kerana rumahnya tidak boleh digunakan.
“Betapa untungnya kita yang tidak terjejas banjir,” kata Pak Nil di dalam siaran langsung itu.
Dia turut mengekspresikan rasa marah kepada individu-individu yang sempat bergurau tidak kena masa dan tempat mengenai situasi banjir.
Katanya, kita perlu menjaga sensitiviti mangsa-mangsa yang menghadapi kesukaran ketika ini.
Semenjak awal bencana banjir melanda negara, Pak Nil sentiasa berkongsi keadaan banjir di akaun sosial medianya yang bukan sahaja dapat membantu tapi dapat menyedarkan orang ramai tentang situasi banjir.