ALOR SETAR: Pendirian 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kekal dan akan dinyatakan di hadapan Jemaah Pemangku Sultan Kedah, sebentar lagi.
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata mereka akan menyatakan pendirian itu di hadapan Jemaah Pemangku Sultan Kedah jika diminta berbuat demikian.
Ahmad Bashah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, berkata pendirian sama juga dinyatakan di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, beliau belum mendapat gambaran mengenai inti pati pertemuan dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah, sebentar lagi.
“Saya tidak tahu apa inti pati pertemuan hari ini, tetapi saya akan hadir seperti yang diarahkan.
“Kalau disoal (Jemaah Pemangku Sultan Kedah) pendirian kami kekal dan akan dinyatakan nanti… pendirian ini juga dinyatakan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, semalam,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas di sini, pagi ini.
Ahmad Bashah berkata, pihaknya akan menerima apa sahaja keputusan yang mungkin akan dibuat selepas pertemuan itu.